Pages

PENYOKONG KAMI

Tuesday, September 16, 2008

SOKONG PENUH KENYATAAN MEDIA ANWAR

Saya yakin dan percaya bahawa apa yang diperkatakan oleh Anwar dalam sidang media tadi adalah benar dan perlu diambil perhatian oleh Perdana Menteri Malaysia demi masa depan rakyat dan negara. Saya menyokong langkah yang diambil oleh Anwar yang tidak menamakan ahli-ahli parlimen BN yang telah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat atas dasar keselamatan dan tindak balas dari BN.

Ini terbukti apabila sebaik sahaja Parti Maju Sabah (SAPP) membuat kritikan kepada BN, Presidennya, Yong Teck Lee terus disiasat kerana didakwa mengamalkan rasuah. Saya menyokong penuh tindakan PR yang mengambil jalan selamat berlandaskan undang-undang negara dan menghormati Seri Paduka Baginda Yang Dipertua sebagai ketua negara. Kita faham bahawa BN akan menggunakan segala ikhtiar dan cara untuk mengagalkan rancangan ini. Saya mengharapkan Pak Lah dapat bertemu dengan Anwar secepat yang mungkin seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat. Pertemuan ini sangat penting untuk rakyat dan negara kerana ia menjadi titik tolak peralihan kuasa yang licin dan teratur.

Sebagai seorang yang berjiwa besar seseorang pemimpin mesti menerima hakikat bahawa suatu hari beliau akan meninggalkan kuasa dan pangkatnya tidak kira samada secara sukarela atau di'hukum' oleh rakyat.

Pak Lah mesti bersedia untuk bertemu dan Anwar dan pemimpin PR lain demi masa depan negara, bangsa dan agama. Tidak ada gunanya berkeras sedangkan diri sendiri ditolak penyokong sendiri dan PR. Malah rakyat juga menunjukkan reaksi yang sama berdasarkan kepada beberapa kajian badan bebas yang jelas membuktikan peratusan sokongan kepada Pak Lah merudum umpama merudumnya indeks BSKL.

Pertemuan kedua-dua pemimpin ini mesti direalisasikan secepat mungkin bagi memulihkan konflik negara kita yang semakin parah dari segi politik, ekonomi, sosial dan segalanya. Dengan kerajaan baru Insya Allah segala permasalahan ini dapat diperbetulkan. Sekarang inipun negara kita sudah terkena tempias ketidaktentuan politik, ekonomi dan pentadbiran negara kerana kedegilan Pak Lah yang berkeras mahu meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri.

Inilah masalahnya yang berlaku dalam politik Malaysia apabila pemimpin perasan dirinya hebat dan tetap disokong oleh rakyat. Sedangkan sebenarnya beliau sudah dicemuh dan dikeji oleh rakyat kerana kelemahan, kecuaian dan kelembapan pemerintahannya.

Diharapkan Pak Lah tidak menjadikan agenda kepentingan politik sendiri mengatasi kepentingan negara, agama dan bangsa.

Kami sebagai rakyat merayu kepada Pak Lah supaya sedar dan insaf akan situasi sebenar di mana dirinya sudah ditolak oleh rakyat dan seluruh kepimpinan politik di dalam negara samada dari PR ataupun BN.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka

Saturday, September 13, 2008

BANTAHAN SEKERAS-KERASNYA PENAHANAN 3 RAKYAT YANG TIDAK DIBUKTIKAN BERSALAH ~ Ref Malaysiakini

Saya membantah sekeras-kerasnya penahanan 3 orang rakyat Malaysia yang ditahan di bawah ISA semalam. Sesungguhnya penahanan ketiga-tiga mereka merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia, kebebasan akhbar dan hak rakyat untuk bersuara.
Blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin (RPK) ditahan dirumahnya pada jam 1.10 tengahari dan seorang lagi wartawan Sin Chiew Daily, Tan Hong Cheng ditahan di rumahnya di Bukit Mertajam jam 8.30 malam, manakala Ahli Parlimen Seputeh dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, YB Teresa Kok ditahan pada jam 11.18 malam tadi semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya
Penahanan ketiga-tiga rakyat merdeka ini merupakan episod malang yang terus menambahkan rekod buruk Malaysia di mata dunia. ISA adalah akta zalim yang mesti dihapuskan dengan segera. Ianya sering digunakan untuk kepentingan politik pemerintah.
Walau sebesar mana kesalahan seseorang itu, Islam memberikan peluang untuk yang dituduh membela diri. Tahanan tanpa bicara seperti ISA adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.Di dalam Islam orang Murtad sekalipun diberi peluang untuk bertaubat dan membela diri. Si murtad dinasihatkan kembali kepada Islam. Setelah semua prosesnya berjalan dan si murtad enggan bertaubat juga, barulah hukuman dikenakan.
ISA jelas bertentangan dengan Islam di mana tahanan ditahan tanpa bicara dengan tidak dibenarkan membela diri di mana-mana mahkamah terbuka.Walau sejahat mana sekalipun, si tertuduh tidak dikira bersalah selagi beliau tidak dibicarakan di mahkamah dan dibuktikan kesalahan oleh hakim dan beliau dibenar untuk membela diri semasa perbicaraan dijalankan.
Saya juga kesal kerana penahanan wartawan Sin Chiew Daily dikatakan kerana melaporkan kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Malangnya Ahmad Ismail yang membuat kenyataan berbaur perkauman itu tidak pula ditahan hanya dikenakan tindakan pergantungan keahlian Umno sahaja.Apakah pemimpin Umno dan BN mempunyai imuniti dan kekebalan walaupun membuat kenyataan berbaur perkauman seperti yang dilakukan oleh Ahmad Ismail. Ahmad hanya dikenakan hukuman digantung keahlian Umno sahaja.Ini merupakan sikap double standard kerajaan BN yang membuat hukuman hanya kepada musuh politiknya sahaja.
Jika benar Ketiga-tiga mereka ini bersalah hadapkan mereka ke mahkamah kerana saya yakin masih banyak akta-akta lain selain dari ISA yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Antaranya akta hasutan dan sebagainya. Mengapa digunakan akta zalim ini untuk menahan mereka.
Saya juga menggesa kerajaan supaya tidak menjadikan ISA sebagai senjata untuk menyelamatkan kerajaan BN yang sedang dilanda seribu satu masalah.
Saya agak sangsi, apakah siri tangkapan ini menjadi permulaan kepada Operasi Lalang 2 yang pernah menjadi penanda aras kezaliman kerajaan BN seperti yang dilakukan pada tahun 1997 itu. Pada masa itu pemimpin Umno bercakap berapi-api meniupkan semangat Melayu tetapi yang kena tahan adalah pemimpin PAS dan beberapa orang ahli Team B Umno.
Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Melaka

Zakat Melaka diberi kepada bukan asnaf

Untuk EPISOD 1 - Melaka TanahairKU akan membongkar penyelewengan wang zakat yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Walaupun isu ini telah bertahun-tahun lamanya berlaku tetapi pihak berwajib seperti SPRM dan lain-lain gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Tergamak pihak-pihak berkenaan menyelewengkan wang zakat yang sepatutnya diberikan kepada asnaf. Tetapi mereka menggunakan wang zakat untuk MEMBINA BANGUNAN.

Malangnya bila perkara ini diadukan kepada SPRM, jawapannya yang diterima ialah TIADA sebarang penyelewengan dan rasuah. SPRM memberi jawapan bahawa pihak Mufti menyatakan wang itu adalah wang lebihan zakat. Persoalannya jika benar ia wang lebihan zakat, bolehkah ia digunakan untuk membina bangunan?



Fakta Monorel Melaka



1) Bernilai RM15 juta, bagi laluan sejauh 1.6 kilometer menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya.

2) Rosak lebih 21 kali sejak beroperasi 20 Oktober 2010

3) Pihak pengendali iaitu Melaka Taming Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.

3) Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepnjang tempoh itu adalah sebanyak RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50

4) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah menggantung perkhidmatan monorel selama sebulan di sebabkan masalah keselamatan dan fasiliti.

5) Antara masalah perkhidmatan monorel ini adalah masalah cengkaman pd landasan terutamannya pada waktu hujan, melain pihak pengurusan menggunakan cat thermal pada landasannya.

6) Antara penyelesaian kerajaan adalah dgn menyediakan sebuah kenderaan berkren yang dikenali sebagai "cherry picker" untuk mengangkut penumpang yang terkandas sekiranya monorel itu tidak dapat bergerak selain menyediakan manual fungsi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan memperkuatkan cengkaman tayar pada monorel melalui jajaran laluan pada waktu hujan.


Disusun oleh : Aizat Baharuddin (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka).