PENYOKONG KAMI

Friday, March 13, 2009

SOKONG PAS DIPERALAT UNTUK KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata beliau menyokong kenyataan AJK PAS Pusat, Dato' Haji Abu Bakar Chik bahawa PAS sedia dimanfaatkan atau 'diperalatkan' oleh Gerakan Memansuhkan (GMP) Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) demi kepentingan bangsa dan Bahasa Melayu.
"Kita sedia untuk berjuang demi Bahasa Melayu yang kian dipinggirkan oleh kerajaan BN sekarang".
"Sebab itu dari awal lagi PAS membantah dasar PPSMI bukan sekarang, kita sentiasa konsisten menentang sistem ini" kata Bakrin.
Bakrin kesal kerana Umno yang mendakwa sebagai parti terbesar orang Melayu seolah-olah membisu dalam soal ini malah menyelar usaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang berjuang untuk menghapuskan PPSMI.
"Sepatutnya Umno lah yang menjuarai isu ini bukannya GMP dan PAS, malah orang Cina dan India pun bersama-sama berjuang untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, Umno diam membisu".
Bakrin berkata bahawa tidak timbul bahawa GMP diperalatkan PAS atau sebaliknya. Apa yang pasti katanya, PAS bersedia untuk diperalatkan GMP demi kepentingan Bahasa Melayu.
Abu Bakar dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan kepimpinan Umno-BN dalam masyarakat hari ini sudah bankrap moral.
Katanya, kerajaan sebenarnya sudah bankrap moralnya dan kepimpinan dalam masyarakat. Menurutnya isu PPSMI yang hangat sekarang ini menunjukkan bukti bagaimana bankrapnya moral kerajaan (BN). Beliau berkata kerajaan menafikan keintelektuan berpuluh-puluh orang profesor yang diketuai oleh Dato' Dr Hassan Ahmad, Prof Abdullah Hassan, Prof Shaharir Md Zain, Prof Dr Nik Safiah Karim Sasterawan Negara, A Samad Said dan ramai lagi.
Namun begitu, katanya para pemimpin BN di Parlimen membuat tuduhan melulu serta melabelkan tokoh-tokoh berkenaan sebagai anasir perosak.
"Tiba-tiba dikatakan mereka (tokoh ilmuan) ini di Parlimen dari Wakil Barisan Nasional (BN) kata anasir-anasir jahat dan anasir-anasir yang merosakkan.
"Mereka (pemimpin BN) tidak ada suatu persepsi menerima teguran dan ini kerajaan yang bodoh-sombong sebenarnya," sindir Dato' Abu Bakar.

Thursday, March 12, 2009

PAS MELAKA BANTU KEMPEN DI BUKIT GANTANG

PAS Melaka sudah berkampung di Bukit Gantang sejak 1 Mac lalu bagi membantu kempen calon PAS di sana.

Setiausaha Jentera Pilihanraya PAS Negeri, Bahiki Ismail memberitahu bahawa PAS Melaka akan berusaha sedaya upaya untuk membantu memberikan kemenangan kepada calon PAS sebagaimana yang dilakukan pada 2 PRK lalu iaitu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Beliau yang kini berada di Bukit Gantang yakin PAS akan menang sekali lagi kerana dari maklum balas yang diterima rata-rata pengundi Melayu di sana mula menunjukkan perubahan setelah meluat dengan tindakan biadap BN merompak kuasa kerajaan negeri dengan cara tidak bertamadun dan tidak bermaruah.

PULAU MELAKA : 10 TAHUN TERBENGKALAI, RAKYAT JADI MANGSA

Kerajaan negeri Melaka ternyata lembap kerana gagal mengatasi masalah projek Pulau Melaka yang terbengkalai sejak sekian lama.

Ramai rakyat negeri ini dan dari luar Melaka menjadi mangsa kegagalan projek ini. Lebih malang lagi setelah lebih 1o tahun projek ini gagal kerajaan negeri seolah-olah berlepas tangan dan membiarkan ianya berlarutan dengan begitu lama.

Projek tersebut yang melibatkan projek perumahan seluas 13.7 hektar melibatkan 3 fasa dengan bilangan unit rumah kedai dan pangsapuri sebanyak 1,534 buah.

Ada di kalangan pembeli rumah projek tersebut terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang dibeli sebanyak RM300 sebulan sejak 1997 namun rumah tersebut masih belum siap.
Sebuah akhbar harian hari ini mendedahkan sikap lepas tangan kerajaan negeri yang memberikan alasan bahawa projek itu dibina oleh syarikat swasta dan kerajaan negeri hanya meluluskan pelan pembangunan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh yang memberikan jawapan tersebut seterusnya menambah bahawa, kerajaan negeri perlu mengikut proses perundangan sebelum kerja-kerja pengambilalihan projek itu dibuat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, jawapan kerajaan negeri tersebut merupakan jawapan yang tidak bertanggungjawab.
"Mengapa baru sekarang mereka sedar sedangkan projek ini sudah terbengkalai sejak sekian lama, kerajaan negeri sebagai pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab sepatutnya telah mengambil langkah lebih awal sebelum ianya menjadi lebih rumit dan berlarutan seperti sekarang".

"Ternyata kerajaan negeri lembap dan lalai sehingga rakyat yang membeli hartanah di sini menjadi mangsa akibat kelemahan kerajaan negeri" tegas Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Ustaz Imran juga kesal kerana kerajaan negeri gagal menjalan penilaian dan pengawasan yang sewajarnya kepada syarikat yang mengendalikan projek ini.

Beliau menyarankan SPRM supaya menyiasat projek ini kerana kemungkinan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga projek ini terbengkalai.

"Siasatan ini mesti dilakukan dengan teliti bermula dari proses penganugerahan projek sehingga ke pelaksanaan projek".

Wednesday, March 11, 2009

PAS MELAKA SOKONG SIAPA SAHAJA CALON BUKIT GANTANG

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata PAS Melaka menyokong sesiapa sahaja yang akan dicalonkan untuk mewakili PAS pada Pilihanraya Kecil Bukit Gantang 7 April ini.
"Bagi kami sesiapa sahaja yang dipilih sudah tentu adalah calon terbaik kerana PAS sudah membuat tapisan dari semua segi"
"Tidak timbul calon tidak disukai dan tidak diterima kerana kita mempunyai sistem pemilihan calon yang terbaik di mana akhir sekali Majlis Syura akan menentukan samada seseorang itu layak atau tidak menjadi calon".
Sofi yakin PAS akan memenangi PRK tersebut berdasarkan situasi dan isu semasa yang jelas memihak kepada PAS.
Beliau berkata demikian di Batu Berendam pagi ini.

ALI DICABAR ISYTIHAR HARTA

Semabok : Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan exco-exconya mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Saya cabar Ali dan semua Exco isytiharkan harta mereka bermula dari hari pertama mereka menjadi wakil rakyat sehingga ke hari ini"

"Ada antara mereka yang sudah menjadi Yang Berhormat lebih dari 3 penggal dan kita mahu mereka isytiharkan harta dari mula-mula mereka menang, jangan berdolak-dalih lagi.

Ini penting untuk membuktikan pemimpin kita di Melaka ini bersih dari sebarang penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa".

Imran berkata Datuk Seri Ali jangan hanya sedap bercakap menghentam kerajaan Negeri Selangor tetapi tidak berani untuk mengisytiharkan harta beliau dan exco-exconya sebagaimana yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid dan barisan Exconya.

"Jika Ali tidak berani untuk mengisytiharkan hartanya bermakna mungkin beliau bermasalah, sebab itu tidak berani untuk berbuat demikian".

Khalid hari ini mengumumkan bahawa beliau bersama barisan Exconya akan mengisytiharkan harta masing di dalam laman web kerajaan negeri http://www.selangor.gov.my/ bermula hari ini.

GMP DIDALANGI PEMBANGKANG : HISHAMUDIN DIBIDAS

Bukit Katil : Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Yassim Musa kesal dengan kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengulangi kenyataan kurang cerdik beliau bahawa himpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang.
"Sudah berapa kali Hishamuddin mengulangi kenyataan ini. Sepatutnya sebagai Menteri beliau perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kerana bimbang rakyat akan memandang rendah kepada beliau kerana kenyataannya yang kurang cerdik dan tidak cermat" Kata Yassim.
"Beliau cuba mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu isu PPSMI yang gagal dan menghancurkan masa depan pelajar-pelajar terutama dalam subjel Sains dan Matematik." kata beliau Menurutnya Hishamuddin sepatutnya bukannya mempertikaikan siapa yang menganjurkan himpunan tersebut.
Beliau sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya mengulas dan memberikan pandangan tentang PPSMI yang diragukan keberkesanannya.

Yassim berkata banyak keraguan dan kelemahan dalam PPSMI. Beliau tidak pernah menjawab bangkitan-bangkitan yang disuarakan oleh GMP antaranya :-

1) Isu skema pemarkahan dan graf kelulusan subjek Sains dan Matematik yang direndahkan sehingga markah yang teruk pun diberikan gred A

2) Isu peratus kelulusan pelajar luar bandar yang jauh ketinggalan berbanding pelajar bandar.

3) Isu kelemahan guru-guru yang mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris.

4) Isu kronisme dan penyelewengan dalam kontrak membekalkan alat bantuan mengajar seperti Laptop, LCD dan lain-lain semasa PPSMI mula diperkenalkan dahulu. "Mengapa Hishamuddin tidak menjawab dan mengulas isu di atas sebaliknya cuba mempertikaikan tindakan GMP mengadakan perhimpunan tersebut yang dikatakan didalangi oleh pembangkang"

"Sememangnya PAS dan PR menyokong hasrat dan pandangan GMP, cuma Umno dan BN sahaja yang menentang PPSMI kerana Umno dan BN tidak nampaknya pentingnya Bahasa Melayu sehingga sanggup menghina dan menguburkan Bahasa kesayangan kita ini" tambah beliau.

Malah beliau juga hairan dengan tuduhan Hishamuddin kerana setahunya pejuang-pejuang bahasa seperti SN Datuk A Samad Said, Datuk Dr Hassan Ahmad, Tan Sri Ismail Hussien, Professor Dr Abdullah Hassan, Professor Datuk Dr Nik Safiah Karim, Professor Dr Shahrir Mohd Zain, Professor Dr Awang Sariyan, Professor Ainuddin Wahid, Professor Zainal Abidin Wahid, Azizi Abdullah, Dinsman, Ainon Mohamad dan lain-lain bukannya manusia bodoh yang boleh diperkudakan seperti pemuda Umno dan pemimpin Umno seperti Hishamuddin.

"Takkanlah para cendikiawan yang bijak pandai ini boleh diperbodohkan oleh Pakatan Rakyat sehingga mengikut telunjuk PR."

"Sudah tentu mereka berfikir panjang dan telah membuat kajian mendalam sebelum menubuhkan GMP yang jelas hala tuju perjuangannya menentang penerusan PPSMI, seperti kata, A Samad Said bahawa beliau juga bersedia untuk naik dan berceramah atas pentas Umno jika parti itu juga menentang PPSMI."
"Untuk Hishamuddin saya ingin tegaskan sekali lagi, para cendikiawan itu bukan bodoh dan mudah dicucuk hidung seperti beliau" tegas Haji Yassim juga aktivis masyarakat.

UMNO DERHAKA KEPADA RAJA BUKAN PR

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata Umno/BN masih terus memainkan isu derhaka bagi meraih sokongan rakyat berketurunan Melayu kerana mereka tahu sokongan kaum Cina dan India kepada Umno/BN semakin hari semakin merosot.

Menurtunya setiap hari isu Pakatan Rakyat (PR) derhaka tak habis-habis dimainkan oleh media massa. Sedangkan Ke bawah DYMM Sultan-Sultan sendiri tidak pernah bertitah bahawa PR derhaka kepada mereka. Umno/BN seolah-olah lebih sudu dari kuah menjadi jurucakap kepada Ke Bawan Duli Tuanku.

"Begitu juga dengan Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam yang terus memainkan isu ini dengan membuat kenyataan akhbar demi untuk menonjolkan dirinya supaya digelar pejuang Melayu sedangkan Raja Melaka sendiri pun beliau tidak daulatkan."
"Kalau betul beliau bersemangat Melayu dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu mengapa beliau tidak mencari susur galur Sultan Melaka dan menabalkan individu tersebut sebagai Raja Melaka selepas disahkan keturunannya sahih lagi benar.
Malang sekali negeri Melaka yang terkenal dengan Zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, kini tidak beraja sedangkan negeri-negeri lain semuanya ada Raja kecuali Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak."

Beliau juga yakin isu penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu yang dimainkan oleh Umno/BN ini akan menikam Umno/BN sendiri. Ini kerana rakyat Malaysia tidak lupa beberapa peristiwa di bawah :-

1) Umno/BN telah meminda perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja pada era 90-an. Peristiwa ini merupakan peristiwa paling malang dalam sejarah Kesultanan Melayu dan Umno lah yang sebenarnya MENDERHAKA kepada Sultan.

2) Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menabalkan seorang kerabat Di Raja Kelantan sebagai Sultan Kelantan, semasa krisis pindaan perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu memuncak. Jelas peristiwa ini benar-benar MENDERHAKA kepada Sultan Kelantan.

3) Pemimpin Umno sanggup membongkar segala keaiban Raja-Raja Melayu di media massa sehingga semua keburukan Raja-Raja Melayu baik yang lama atau baru disiarkan di dada akhbar semasa isu pindaan perlembagaan hangat diperkatakan pada era 90-an dahulu.

4) Seorang pemimpin Umno sanggup mengahwini Puteri Sultan dengan membelakangkan Ayahanda Puteri tersebut. Pemimpin Umno itu sekarang masih menjadi pemimpin kanan Umno dan bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan hujung bulan ini.

5) Umno sanggup membelakangkan calon Menteri Besar pilihan Sultan di 2 buah negeri

sehingga berlaku demonstrasi di kedua-dua negeri tersebut. Ada banner yang dibawa mencaci Sultan dengan perkataan seperti 'Menatang' (Binatang). Walaupun akhirnya Umno akur dengan titah Sultan di kedua-dua negeri tersebut namun peristiwa ini menggambarkan bahawa Umno derhaka kepada Sultan.

Katanya, banyak lagi peristiwa penderhakaan Umno/BN kepada Sultan. Peristiwa di atas katanya sudah cukup untuk membuktikan bahawa bukan PR yang derhaka kepada Sultan tetapi sebenarnya Umno/BN yang lebih kurang ajar dan biadap serta derhaka kepada Sultan.

Zakat Melaka diberi kepada bukan asnaf

Untuk EPISOD 1 - Melaka TanahairKU akan membongkar penyelewengan wang zakat yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Walaupun isu ini telah bertahun-tahun lamanya berlaku tetapi pihak berwajib seperti SPRM dan lain-lain gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Tergamak pihak-pihak berkenaan menyelewengkan wang zakat yang sepatutnya diberikan kepada asnaf. Tetapi mereka menggunakan wang zakat untuk MEMBINA BANGUNAN.

Malangnya bila perkara ini diadukan kepada SPRM, jawapannya yang diterima ialah TIADA sebarang penyelewengan dan rasuah. SPRM memberi jawapan bahawa pihak Mufti menyatakan wang itu adalah wang lebihan zakat. Persoalannya jika benar ia wang lebihan zakat, bolehkah ia digunakan untuk membina bangunan?



Fakta Monorel Melaka



1) Bernilai RM15 juta, bagi laluan sejauh 1.6 kilometer menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya.

2) Rosak lebih 21 kali sejak beroperasi 20 Oktober 2010

3) Pihak pengendali iaitu Melaka Taming Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.

3) Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepnjang tempoh itu adalah sebanyak RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50

4) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah menggantung perkhidmatan monorel selama sebulan di sebabkan masalah keselamatan dan fasiliti.

5) Antara masalah perkhidmatan monorel ini adalah masalah cengkaman pd landasan terutamannya pada waktu hujan, melain pihak pengurusan menggunakan cat thermal pada landasannya.

6) Antara penyelesaian kerajaan adalah dgn menyediakan sebuah kenderaan berkren yang dikenali sebagai "cherry picker" untuk mengangkut penumpang yang terkandas sekiranya monorel itu tidak dapat bergerak selain menyediakan manual fungsi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan memperkuatkan cengkaman tayar pada monorel melalui jajaran laluan pada waktu hujan.


Disusun oleh : Aizat Baharuddin (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka).