KENYATAAN MEDIA
ISU PENGGUNAAN WANG ZAKAT MELAKA
Pada 13 Mac 2013 saya telah
mendapat sepucuk surat berdaftar daripada pihak Rosfinah & Co. yang
beralamat di No.15 Jalan Cengal, Taman Merdeka, Batu Berendam Melaka. Rosfinah & Co. yang mewakili Kerajaan Negeri
Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka telah membuat writ saman berserta tuntutan
(seperti lampiran) kepada 3 penama yang berjawatan seperti berikut:
1. Hj Adly bin Zahari
(Pesuruhjaya PAS Melaka)
2. Sdr Jauhar b Mohamad Dawi
(Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil)
3. Sdr Mohd Mokhtar b Ruzaidi
(Harakahdaily)
Sehubungan dengan itu maka
saya mengambil ketetapan berikut :-
1. Saya tidak melihat sebarang
keperluan untuk saya meminta maaf atau menarik balik sebarang kenyataan.
2. Akan terus membongkar segala
salahurus kerajaan yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional supaya ianya dapat dinilai
oleh rakyat Negeri Melaka.
3. Tidak akan membuat sebarang
bayaran ke atas tuntutan RM100,000,000.00
4. Saya bersedia untuk berdepan
dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang merupakan Ketua Menteri dan pengerusi
MAIM di mahkamah.
Saya juga ingin tegaskan bahawa
isu yang saya bangkitkan adalah isu berkepentingan ramai yang menyentuh tentang
bagaimana Dana Awam telah disalahurus
sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri.
Saya percaya sebagai Pesuruhjaya
PAS Melaka dan sebagai anakjati Melaka, saya mempunyai tanggungjawab dari segi
agama, moral, politik dan undang-undang bagi membangkitkan isu penyalahgunaan wang
rakyat dan sebagai timbalbalas rakyat negeri ini juga mempunyai kepentingan untuk
mengetahui dan mengambil maklum terhadap isu tersebut.
Sayugia saya sampaikan mesej
khusus ini kepada Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa beliau tersilap sekiranya merasakan
bahawa saya akan takut dan gentar untuk terus membongkar salah guna kuasa,
penyelewengan dan rasuah dengan writ saman ini.
Saya cukup berkeyakinan bahawa
writ saman ini dikeluarkan menjelang tibanya pilihanraya umum yang ke 13, tidak
lain bagi menyekat kemaraan dan pengaruh PAS
dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di
negeri Melaka ini.
Saya ingin tegaskan bahawa
saya akan terus yakin dan istiqamah untuk membongkar segala salahurus ini,
sehingga cita-cita rakyat Melaka untuk mendapat kepimpinan yang adil dan amanah
tercapai.
Saya juga telah mendapatkan
khidmat Peguam Pas, Mohamed Hanipa Maidin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates
bagi mewakili saya di mahkamah nanti.
Adly b Zahari
Pesuruhjaya PAS Melaka
19 Mac 2013
7 Jamadilawal 1434H