Pages

Ucapan Eidul Fitri

Ucapan Eidul Fitri

PENYOKONG KAMI

Thursday, November 19, 2009

APA KHABAR MEMALI?

Hari ini 19 November 2009 genap 24 tahun kekejaman kerajaan BN terhadap mujahid Memali diketuai As Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Peristiwa hitam yang tidak mampu dilupakan oleh para balu, anak, saudara syuhada serta penduduk kampung Memali.

Peristiwa di awal pagi tersebut sudah tentu masih terngiang-ngiang dan tergambar di mata mereka bagaimana rakusnya anggota keselamatan meratah rakyat yang tidak berdosa dek kerana kebencian dan kedengkian kepada perjuangan dan pengajian Islam yang dibawa oleh As Syahid Ustaz Ibrahim Libya.

Masih ramai mangsa Memali yang masih diberikan nikmat kehidupan oleh Allah sehingga kini. Antaranya Senator Yusof Hussein yang sudah tentu mampu untuk menceritakan segala-galanya. Balu As Syahid Ustaz Ibrahim Libya, Kak Solehah juga masih hidup.
Sudah berapa banyak penderitaan dan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa memali. Ibu terpaksa mencari rezeki menyara keluarga kerana suami syahid di medam Memali. Anak-anak kehilangan ayah untuk berpaut. Ibu dan ayah kehilangan anak kesayangan.Anak-anak yatim merintih dan menderita keperitan hidup tanpa ayah.

Semua ini adalah rentetan kekejaman kerajaan BN yang tidak mampu dipadam oleh sejarah.

Kini setelah 24 tahun peristiwa hitam itu, ramai juga dikalangan mangsa Memali yang sudah meninggal dunia. Antaranya ayah As Syahid Ustaz Ibrahim Libya sendiri iaitu Haji Mahmud dan lain-lain.

Anak-anak Memali juga semakin dewasa, balu-balu syuhada juga sudah tua. Namun sudah tentu mereka tidak akan melupakan kekejaman dilakukan ke atas mereka. Sudah berapa banyak airmata dikeluarkan. Sudah berapa banyak tenaga dikerah untuk menyara anak-anak. Semua itu Insya Allah akan dibalas oleh Allah sebagai ganjaran yang tiada nilainya.

Kepada para Syuhada, aman dan damailah kailan di sana mendapat nikmat dari janji Allah.

Apa yang diharapkan kerajaan yang bertanggungjawab ke atas peristiwa ini jenguk-jenguk mangsa Memali ini. Berilah bantuan dan pertolongan semaksima mungkin. Guna untuk menebus dosa yang telah dilakukan. Walaupun ianya mungkin tidak mampu mengembirakan mangsa Memali tetapi setidak-tidaknya keperitan hidup mereka dapat dibela.

Tahniah juga kepada pihak Madsrasah Islahiah Memali kerana berjaya membangung institusi tersebut sehingga menjadi sebuah institusi pendidikan yang besar sekarang ini. Cita-cita As Syahid untuk membangunkannya akhirnya tercapai. Syabas dan tahniah.

Kepada seluruh pencinta perjuangan Islam, hulurkan apa juga bantuan yang boleh diberi kepada mangsa Memaali dan Madrasah ini.

Wednesday, November 18, 2009

PANGGIL SPRM SIASAT SEMUA PENYELEWENGAN DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

Saya mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya memanggil SPRM menyiasat semua salah laku dan penyelewengan yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Dalam laporan tersebut Ketua Audit Negara dengan jelas memperincikan beberapa salah laku dan penyelewengan berkaitan KAFA, MBMB dan lain-lain. Bukti dan fakta dilaporkan dengan jelas bagi memudahkan SPRM menyiasat perkara tersebut.

Sehingga kini Ketua Menteri diam seribu bahasa tanpa apa-apa komen dan tindakan drastik diambil.

Sekali lagi saya mencabar Mohd Ali supaya memanggil dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM. Perkara ini penting supaya jika laporan itu salah maka nama kerajaan negeri Melaka bersih. Tetapi sebaliknya jika ianya benar maka semua yang bertanggungjawab mesti dihadap ke muka pengadilan.

Imran Abdul Rahman
AJK PAS Negeri Melaka

GAJI MINIMA RM1500 BUKAN RM700

Kerajaan Pusat khasnya Kementerian Sumber Manusia memang tidak cerdik apabila meminta majikan menetapkan gaji minima RM700 sebulan sebagai gaji minimum pekerja. Bukankah RM700 itu masih di paras kemiskinan. Apa yang mereka boleh makan dengan gaji minima RM700 sebulan.

Sejak dari dahulu lagi PR menggesa kerajaan menetapkan gaji RM1500 sebulan sebagai gaji minima semua pekerja di Malaysia. Namun ianya tidak mendapat sokongan dari kerajaan pusat. Akhirnya rakyat yang menderita dengan dasar kerajaan pusat yang enggan menuruti cadangan PR.

Lebih malang lagi Kementerian Sumber Manusia seolah-olah puashati dengan keadaan sekarang sedangkan rakyat yang berpendapatan rendah menderita akibat di'dera' majikan dengan gaji serendah RM400-RM500 sebulan.

Semalam Menteri Sumber Manusia, Dr Subramniam berkata usaha kerajaan berbincang dengan sektor perindustrian untuk memohon kenaikan gaji mula menunjukkan hasil positif.

Beliau berkata sejajar dengan perkembangan industri pembuatan yang kembali aktif kebelakangan ini, permintaan kementerian untuk mendapatkan gaji asas RM700 sudah menampakkan hasil apabila ramai pekerja tempatan kembali bekerja.

Jelas sekali Menteri ini gagal memahami dan menyelami masalah rakyat yang semakin terhimpit dengan pendapatan RM700 atau kurang dari itu sebulan.

Saya mengharapkan kerajaan dapat menggubal undang-undang untuk menetapkan gaji minima RM1500 sebulan ini untuk semua pekerjadi semua sektor samada awam atau swasta. Dengan gaji minima ini rakyat akan hidup lebih sejahtera dan pada masa yang sama dapat mengurangkan masalah sosial.

Imran Abdul Rahman
AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka

Thursday, October 15, 2009

SKIM PENYAYANG TERUS BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT

"Saya banyak terima kasih pada PAS yang tolong saya masa saya susah" kata Encik Ng Boon Peng penerima manfaat skim ini yang menerimanya malam tadi.

Isteri Ng, Lim Geok Kiau meninggal dunia baru-baru ini kerana barah payu dara.

Wang manfaat berjumlah RM7000 tersebut telah diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman di kediaman Ng di Taman Seri Jati, Sg Putat.

Ng merupakan penerima pertama dari kaum Tionghua.

Rakyat yang ditimpa musibah akan terus mendapat bantuan dari Skim Penyayang anjuran PAS Negeri Melaka. Skim ini yang ditubuhkan beberapa bulan lalu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat di mana jumlah mereka yang menyertainya semakin bertambah dari sehari ke sehari.
Dalam ucapan ringkasnya pada majlis tersebut, Ustaz Abdul Ghani menjelaskan bahawa skim ini dilancarkan bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah kematian waris terdekat.
"PAS sentiasa cuba membantu meringankan bebas rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit"
"Kebajikan rakyat kita utamakan setakat yang kita mampu" ujar Ustaz Ghani.
Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Bendahari PAS Negeri Melaka, Husni Balis Ali; Ketua Lajnah Kebajikan Negeri Melaka, Haji Ismail Latif; Ketua Kelab Penyokong PAS Negeri Melaka, Lim Swee dan beberapa orang pimpinan PAS Negeri dan Kawasan Bukit Katil serta masyarakat Tionghua yang tinggal berdekatan dengan kediaman Ng.
Peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 setahun. Waris akan menerima RM7,000 untuk peserta yang berumur 18-65 tahun dan RM2000 untuk peserta yang berumur 66 - 80 tahun apabila peserta meninggal dunia.

Sesiapa yang ingin menyertai skim ini boleh membuat pertanyaan di talian 06-284 1780 atau 0162772288.

Tuesday, October 13, 2009

PAS TERUS MANTAP, KEKALAHAN DI BAGAN PINANG TIDAK LEMAHKAN SEMANGAT

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata PAS terus mantap dari segi organisasi dan gerakerjanya tidak seperti parti lain dalam Barisan Nasional yang terus dilanda masalah dalaman yang tidak kunjung padam.
Sofi berkata PAS ternyata semakin matang dan professional walaupun terdapat pertandingan di dalam parti itu.
"Tidak seperti MCA, MIC, UMNO, PPP dan lain-lain yang sering mengalami masalah dalaman bila berlakunya pertandingan di dalam parti terutama perebutan jawatan tertinggi parti".
"Lihat sahaja Umno bila ada pemilihan maka rasuah berleluasa, MCA sampai Presiden dan Timbalan Presiden tidak dapat kepercayaan ahli, PPP bergaduh, MIC bergaduh, ini semua melambangkan bahawa pimpinan parti-parti itu mementingkan diri sendiri" kata Sofi.
Menurutnya PAS juga tidak akan hilang punca dan tidak gusar dengan kekalahan di Bagan Pinang kerana banyak faktor luar yang menyebabkan berlakunya perkara tersebut.
"Semua orang tahu di Bagan Pinang terdapat 4,604 undi pos yang sememangnya menjadi punca utama kemenangan BN."
"Namun PAS tetap realistik dan akan mengkaji sebab mengapa undi biasa juga merosot teruk, pada PRU 2008 PAS hanya kalah 400 undi biasa tetapi pada kali ini ianya meningkat kepada 2,000 undi" tambah Sofi
Ditanya apakah kekalahan PAS di Bagan Pinang akan melemahkan semangat ahli dan penyokong PAS, Sofi menjawab, kita biasa dengan kekalahan, dan kita akan terus berjuang untuk membebaskan rakyat Malaysia.
"Kita baru kalah sekali dari lapan pilihanraya kecil di Semenanjung maknanya 7-1 aggregat kita, apa yang kita hendak bimbangkan"katanya.

SERTAI KELAB PENYOKONG PAS

Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Negeri, Khairul Che Salleh menyeru ahli-ahli MCA supaya menyertai Kelab Penyokong PAS bagi meneruskan agenda politik mereka mempertahankan dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia berketurunan Tionghua.
"MCA akan berkubur, krisis politik tak selesai-selesai, Presiden dan Timbalan Presiden pun tak ada, yang kaya orang atasan MCA dan kroni-kroni mereka, jadi apa tunggu lagi"
"MCA sudah tidak boleh diharap untuk membantu rakyat khasnya kaum Tionghua, jadi Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik" tambah Khairul.
Beliau mempelawa seluruh ahli MCA di serata negara untuk tampil dan berjuang bersama-sama dengan PR kerana menurutnya hanya PR yang akan dapat menyelamatkan mereka dari terus diperkotak-katikkan oleh MCA dan BN.

SKIM PENYAYANG PAS NEGERI TERUS DAPAT SAMBUTAN

Skim Penyayang anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka terus mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sehingga kini skim ini berjaya menarik ratusan pencarum di setiap kawasan dan ramai diantara waris pencarum sudah menerima manfaatnya.
Skim ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu warga emas dan bukan warga emas. Pencarum dikenakan bayaran sebanyak RM20 setahun. Jika pencarum meninggal dunia waris pencarum yang warga emas akan mendapat manfaat sebanyak RM2,000 dan bukan warga emas sebanyak RM7,000.
Sesiapa yang berminat untuk menyertai skim ini boleh menghubungi talian 016-62772288 atau 06-284 1780.

Monday, October 12, 2009

KEMENANGAN ISA : IMEJ NEGARA DAN RAKYAT TERCALAR

Pengundi Bagan Pinang membuat kesilapan besar apabila memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai ADUN mereka pada pilihanraya semalam. Di saat kononnya kerajaan dan badan bukan kerajaan memerangi rasuah dan penyelewengan, rakyat masih terus dibuai mimpi memilih calon yang terbukti terpalit dengan rasuah. Madrasah Ramadhan selama sebulan tidak menampakkan hasil apabila rakyat tetap memilih calon yang krorup.

Rakyat sanggup menggadai maruah mereka semata-mata untuk memenangkan seorang bekas perasuah iaitu Tan Sri Isa Samad. Kesilapan rakyat memilih Isa memberikan impak yang besar kepada imej negara kita kerana negara luar melihat bahawa rakyat Malaysia tidak sensitif kepada rasuah dan persepsi negara luar ini amat menjejaskan kredibiliti rakyat dan negara kita sendiri.

Rasuah tidak dilihat sebagai perkara jijk, bobrok dan kotor sebab itulah rakyat boleh menerima kaki rasuah seperti Isa menjadi wakil rakyat mereka.

Saya kesal kerana rakyat Bagan Pinang masih tidak memahami betapa pentingnya seorang wakil rakyat yang bersih dan berintegriti untuk menjadi pemimpin mereka.Saya juga bimbang kemenangan Tan Sri Isa ini akan menyebabkan rasuah dilihat bukan satu jenayah kerana orang yang terlibat dengan rasuah dipilih oleh BN dan rakyat untuk menjadi wakil rakyat.

Oleh itu PAS dan PR mesti bekerja kuat untuk menyedarkan mereka betapa pentingnya rakyat menolak rasuah di semua peringkat.

Sesungguhnya kemenangan BN di Bagan Pinang tidak bermakna rakyat sudah kembali menyokong BN secara total kerana dari 5,400 majoriti yang diperolehi BN 3,000 adalah datang dari undi pos yang sememangnya disangsikan ketelusannya. BN sebenarnya hanya menang kira-kira 2,400 sahaja dari undi pengundi biasa.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka

Sunday, August 9, 2009

DAP MELAKA ADAKAN MAKAN MALAM ERATKAN HUBUNGAN PR DENGAN RAKYAT

DAP Melaka akan mengadakan majlis makan malam bermula jam 8.00 malam ini di Dewan Pay Fong, Bandaraya Melaka.
Beberapa pimpinan PR Pusat dan Negeri telah mengesahkan kehadiran mereka. Dijangkakan 4,000 rakyat akan hadir pada malam ini.

Saturday, August 8, 2009

10 RESOLUSI DIPUTUSKAN SEMPENA MUNAQASYAH UCAPAN DASAR PRESIDEN

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang berlangsung di Madrasah An-Nuriah Sungai Udang, Melaka pada 8 Ogos 2009 ini menetapkan resolusi bahawa :-

PAS di semua peringkat mesti berusaha menyedarkan ahli dan masyarakat bahawa hanya Islam yang mampu memimpin, ideology lain semuanya sudah musnah. Suatu system politik baru yang adil, telus dan wibawa mesti ditawarkan kepada rakyat dan gerakerja memberikan kefahaman mesti ditingkatkan.

PAS mesti memantapkan organisasi dengan :-
a) Memantapkan Sistem Tarbiah – mewajibkan Usrah di peringkat pimpinan perhubungan negeri, Kawasan-kawasan, Dewan-Dewan, 1 Usrah di setiap cawangan.
b) Organisasi – Mewujudkan minima 1 cawangan di setiap UPU, penambahan 50 orang ahli sebulan di setiap kawasan, menubuhkan unit amal dan nisa’ di setiap kawasan. Setiap kawasan mesti memiliki seorang petugas sepenuh masa.
c) Membudayakan program latihan – minima 1 latihan kepimpinan di setiap peringkat negeri, kawasan, dewan-dewan dan cawangan.
d) Pilihanraya – merealisasikan target untuk memenangani minima 13 kerusi DUN di negeri Melaka.

Ulama’ mesti menampilkan kepimpinan ulama’ sebagai model kepimpinan telus, adil dan berkebajikan serta tangkas menjelaskan isu-isu semasa berdasakan penyelesaian Islam.

Dewan Pemuda mesti berusaha bersungguh-sungguh mendekati pemuda dengan program-progam aktiviti hiburan, sosial, hiburan dan sukan secara berakhlaq

Dewan Muslimat bertanggungjawab menangani isu-isu wanita sehingga muslimat dilihat dijadikan tempat rujukan dan penyelesai masalah.

PAS Melaka dan kawasan mesti menubuhkan Kelab Penyokong PAS di peringkat negeri dan kawasan sebelum akhir tahun 2009. Kelab Penyokong PAS Kawasan mesti mendapatkan sekurang-kurangkan 50 ahli pada tahun 2009.

PAS Melaka mesti menggerakkan aktiviti mendekati rakyat bukan Islam dengan bantuan rakan-rakan PR dan Kelab Penyokong PAS.

PAS Melaka mesti menjadi peneraju Pakatan Rakyat Melaka.

Sebuah institusi untuk veteran PAS Melaka mesti diujudkan bagi membolehkan mereka menjadi penasihat dan pemandu kepada PAS Melaka.

Friday, June 26, 2009

ALI RUSTAM JADI KAMBING HITAM UMNO

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam kemungkinan akan menjadi kambing hitam untuk menyelamatkan maruah Umno.

"Ali kemungkinan akan didakwa oleh SPRM atas tuduhan rasuah semasa kempen pemilihan Umno dulu. Pendakwaan ini mungkin dilakukan sebagai usaha Umno untuk menunjukkan mereka serius menangani isu rasuah dan rakyat mungkin akan percaya dengan mereka".

"Khabar menyebut bahawa Datuk Seri Ali Rustam cuma tinggal 3 bulan lagi masa untuk menerajui Melaka" ujar Adly di dalam blog peribadinya.

Adly berkata Walaupun kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz seolah-olah berpihak kepada Ali Rustam, namun laluan Ali Rustam pasti sukar.

Ini kerana katanya, laporan rasuah Mohd Ali sedang diperhalusi dan mungkin SPRM sedang menunggu isyarat dari pihak atasan untuk mendakwa Ketua Menteri Melaka itu.

"Ali Rustam dijangka akan jatuh kerana rasuah, UMNO tak akan mempertahankan beliau. UMNO akan turunkan beliau untuk menaikkan imej UMNO menentang rasuah. SPRM mungkin alatnya".

"Mungkin Pakatan Rakyat tak dapat menumbangkan beliau dalam PRU ke13, kerana UMNO akan menjatuhkan beliau lebih awal" kata Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Alor Gajah.

Beliau menambah bahawa mungkin Mohd Ali boleh berusaha mencari talian hayat dengan memohon jasabaik Rosmah Mansor.

TINGGALKAN UNDANG-UNDANG ISLAM, HALALKAN RIBA, JUDI DAN PELACURAN MEMANG AJARAN SESAT

Masjid Tanah : Dakwaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Umno sesat menang ada kebenarannya.

Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman berkata adakah sesebuah parti atau kerajaan itu tidak sesat jika ia meluluskan lesen judi, arak, menghalalkan riba dan lain-lain.

"Sesat atau sesat bukannya bergantung kepada perbuatan seperti Ayah Pin sahaja tetapi juga boleh dikategorikan sesat yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN pimpinan Umno sekarang".

"Jadi apa yang dinyatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz memang benar dan ini sudah lama diperkatakan beliau mengapa hendak diungkit sekarang. Sepatutnya pihak terbabit berusaha memperbetulkan kesilapan mereka bukannya memarahi Tok Guru" ujar Imran yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kenyataan Tok Guru Nik Aziz yang mendakwa Umno sesat.

Thursday, June 25, 2009

PRK MANEK URAI : PAS MELAKA BERKAMPUNG DI SUNGAI SOK

Jentera Pilihanraya PAS Melaka telah mula berkampung di Peti Undi Sungai Sok bagi membantu PAS mempertahankan kemenangan di DUN Manek Urai.

Sejak dari 19 Jun lalu hinggalah ke hari pengundian 14 Julai PAS Melaka akan memastikan petugas mereka akan sentiasa bersiap siaga menjalankan apa juga tugas yang diamanahkan kepada Petugas PAS Melaka.

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Bahiki Ismail berkata petugas-petugas PAS Kawasan yang datang ke Sungai Sok secara bergilir-gilir bagi memastikan kesinambungan gerakerja yang diamanahkan kepada PAS Melaka dilaksanakan sebaik mungkin.

Sunday, May 24, 2009

SKIM PENYAYANG BANTU MASYARAKAT

Skim penyayang Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka bertujuan memberi sumbangan kepada seluruh rakyat di negeri Melaka selari dengan konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang menjadi manifesto PAS bersama dengan Barisan Alternatif pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Bendahari Badan Perhubungan Negeri Melaka, Husni Balis Ali(gambar) berkata objektif utama Skim Penyayang berkenaan adalah untuk memberi sumbangan dan insentif kepada bukan sahaja untuk ahli dan penyokong PAS tetapi juga kepada seluruh rakyat Melaka tidak mengira kaum dan agama.

“Pada asasnya skim ini diwujudkan untuk memberi sumbangan kepada rakyat Melaka dan ia sebagai bukti kita menyahut manifesto ‘Negara Kebajikan’ yang kita tawarkan ketika pilihanraya umum lalu.

“Sumbangan yang disampaikan adalah sebagai penghargaan kepada setiap ahli PAS yang telah lama berkhidmat dan kepada waris mereka, sebagai penyuntik semangat kepada ahli keluarga yang lain untuk bersama-sama menyambung perjuangan ahli yang sudah meninggal dunia”.

Sehingga kini beberapa waris pencarum yang meninggal dunia telah menerima sumbangan dari Skim Penyayang ini. Antaranya waris kepada Allahyarham Ismail Sedek yang menerima RM2,000. Sumbangan ini disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kepada waris Ismail pada program Hari Terbuka Muslimat baru-baru ini.

Husni Balis berkata yuran penyertaan skim ini adalah sebanyak RM20.00 untuk tempoh perlindungan selama setahun dan ia terbahagi kepada skim iaitu bagi peringkat umur 18 sehingga 65 tahun bagi skim pertama.

Sementara bagi skim kedua pula adalah untuk untuk mereka yang berusia antara 66 tahun sehingga 80 tahun. Sumbangan akan diterima waris si mati apabila pencarum skim pertama skim pertama meninggal dunia, waris akan menerima sebanyak RM6,000 untuk kematian dan RM1,000 untuk urusan pengebumian.

Manakala bagi skim kedua pula, pewaris akan menerima sumbangan kematian sebanyak RM1,000 dan urusan kematian sebanyak RM1,000.


Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai skim ini boleh menghubungi Husni Balis di talian 0162772288 atau pejabat Perhubungan di talian 06284 1780.

Wednesday, May 6, 2009

PAS KAWASAN BUKIT KATIL KUTUK PENANGKAPAN MAT SABU

Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Ramli Dalip mengutuk sekeras-kerasnya penahanan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu hari ini.
"Nyata sekarang bahawa Najib lebih ganas dan biadap dari Tun Abdullah sebagaimana yang diramal oleh ramai orang."
"Konsep One Malaysia Najib sebenarnya hanyalah konsep untuk menyelamatkan dirinya, keluarganya serta kroni-kroninya" kata Ramli.Ramli berkata lebih malang lagi penahanan itu pula tidak dibuat mengikut prosedur di mana tiada waran tangkap dan punca penankapan tidak dijelaskan.
Menurutnya, penangkapan jelas membuktikan bahawa kerajaan BN berani bertindak sesuka hati terhadap musuh politiknya ini amat bertentangan dengan amalan demokrasi.

Mohamad Sabu ditangkap polis jam 3.10 petang tadi di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Ramai pihak percaya penangkapan beliau ada kaitan dengan perhimpunan munajat yang akan dianjurkan subuh esok (7 Mei), bersempena persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Sekumpulan anggota polis dipercayai Special Branch, dengan tiga buah kenderaan, menyerbu beliau, sebaik sahaja Naib Presiden PAS itu keluar dari restoran berkenaan.

2 YDP BARU DAN 1 KEKAL DI MELAKA

Setakat ini 3 Kawasan di Melaka telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung PAS Kawasan masing-masing iaitu PAS Kawasan Tangga Batu, Alor Gajah dan Bukit Katil. 3 Kawasan lagi iaitu Kota Melaka, Jasin dan Masjid Tanah akan menyelesaikan mesyuarat agung masing-masing hujung minggu ini dan minggu hadapan.
2 dari 3 PAS Kawasan tersebut mendapat Yang Dipertua PAS (YDP) yang baru apabila mereka telah dipilih pada mesyuarat agung masing-masing Ahad lalu.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Melaka, Adly Zahari telah dipilih menjadi Yang Dipertua PAS Alor Gajah manakala Ketua Penerangan PAS Negeri, Mohd Sofi Abdul Wahab diamanahkan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil.
Manakala PAS Kawasan Tangga Batu mengekalkan Yang Dipertua penggal lalu iaitu Ustaz Khamis Saat untuk menerajui PAS Kawasan tersebut sepenggal lagi.
Di Alor Gajah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan sessi lalu, Ashraf Mukhlis Minghat mengekalkan jawatannya manakala Naib Yang Dipertua di sandang oleh muka baru Haji Amdan Sudin.
Kedua-dua Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil disandang oleh muka baru iaitu Haji Mohd Ali Sharif dan Haji Ismail Ahmad.
Sementara itu PAS Tangga Batu juga mendapat TYDP baru iaitu Haji Hassan Md Dahan dan NYDP baru iaitu Husni Balis.
Sementara itu Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dijangka akan dipilih sekali lagi untuk menerajui PAS Kawasan Masjid Tanah.
2 lagi kawasan iaitu Jasin dan Kota Melaka kemungkinan besar akan menyaksikan pertandingan untuk jawatan Yang Dipertua. Mejar Jasme Tompang kemungkinan ditentang di Jasin manakala Ustaz Kamaruzaman Abdul Rahim dikatakan tidak akan mempertahankan jawatannya.

Tuesday, April 14, 2009

INIYA TAMIZHPUTHAANDU NALWAZHTHUKKAL

Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka mengucapkan Iniya Tamizh Puthaandu Nalvazhthukkal kepada semua rakyat berbangsa India yang menyambut tahun baru bagu kalendar mereka hari ini.

Diharapkan tahun ini akan memberikan kegembiraan dan kita semua dapat hidup aman damai di bumi Allah yang tercinta.

Kita semua berasal dari Adam dan Hawa dan mesti hidup saling bantu membantu. Mana yang salah kita betul dan beri nasihat.
Yang baik kita teruskan dan pertingkatkan lagi kebaikannya. Mari sama-sama kita bina sebuah negara yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan.

BAKRIN GESA ALI LETAK JAWATAN SEKALI LAGI

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri dan ADUN Bukit Baru.

Gesaan beliau dinyatakan semasa dihubungi oleh wakil Blog ini pagi ini.

Dalam kenyataannya Bakrin berkata, rakyat Melaka tidak akan berdiam diri dan akan terus menggesa Ali supaya meletakkan jawatan bagi memulihkan pentadbiran kerajaan negeri yang dicemari dengan kekotoran pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

"Rasuah negeri Melaka tidak rela mereka dipimpin oleh seorang pemimpin yang tiada integriti dan jelas disabitkan kesalahan oleh Lembaga Disiplin Umno".

"Jadi tidak ada sebab untuk Ali meneruskan tugas sebagai Ketua Menteri yang amat memerlukan seorang pemimpin yang bersih, berintegriti dan berwibawa" ujarnya.

Bakrin berkata, jika Ali tidak meletakkan jawatan dan tidak dilucutkan oleh Najib Razak maka jelaslah Umno/BN sebenarnya menghalalkan rasuah sebab itu pemimpin yang kotor seperti Ali masih diberikan peluang menerajui negeri Melaka.

Selain itu Bakrin juga mengharapkan SPRM segera menyiasat Ali berkenaan laporan yang telah dibuat oleh Pemuda PR beberapa minggu lepas.

"Sehingga kita tidak mendengar apa-apa berita tentang laporan SPRM itu, adakah ianya telah dibakulsampahkan" tanya Bakrin.

Gesaan Bakrin ini yang mahukan Ali meletakkan jawatan ini merupakan rentetan kepada beberapa kenyataan dan demo yang mahukan Ali meletakkan jawatan sebaik sahaja beliau didapati bersalah oleh lembaga disiplin Umno.

Monday, April 13, 2009

ISLAM HADHARI MESTI DIMANSUHKAN

Saya memang dari mula-mula Islam Hadhari diperkenalkan memang tidak bersetuju dengan konsep dan pendekatannya. Mana ada Islam Hadhari atau Islam baru yang ada ialah ISLAM sebenar yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W.

Namun pentadbiran Perdana Menteri terdahulu terus berdegil mempertahankan Islam Hadhari walaupun dibantah keras oleh alim Ulama' yang tidak ada mengampu kerajaan. Manakala Ulama' yang mengampu kerajaan terus memuja dan memuji Islam Hadhari walaupun mereka tahu ianya bertentangan dengan Islam sebenar.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam memberikan penerangan mengapa Islam Hadhari adalah bertentangan dengan Islam.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan beberapa sebab mengapa ianya jelas mengelirukan.

"Namanya yang bermaksud Islam Bertamadun menggambarkan seolah-olah ia adalah Islam yang baharu yang lebih bertamadun daripada Islam al-Quran yang asal. Ia tambah mengelirukan kerana mempunyai rukun yang tidak sama dengan rukun Islam asal"

"Islam Hadhari mempunyai rukun-rukunnya tersendiri yang baharu berjumlah 10 kesemuanya. Islam asal yang diturunkan Allah SWT melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.pula mempunyai lima rukun."

"Islam Hadhari sejak diperkenalkan oleh Tun Abdullah dahulu lebih banyak membawa kekeliruan dan masalah kepada pemahaman Islam di kalangan rakyat. Bukan sahaja mereka yang bukan Islam bertambah menjadi sangat keliru, mereka yang beragama Islam, khususnya golongan muda dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi menjadi kelam-kabut," jelas Tuan Guru.

Antara kekeliruan yang jelas, kata Tuan Guru adalah seperti berikut :-

1. Penerusan Malaysia sebagai pusat pengeluaran arak, perjudian,dan lumba kuda terbesar di Asia Tenggara. Kegiatan-kegiatan ibu kemaksiatan ini terus berkembang dan dilesenkan oleh pentadbiran Islam Hadhari.

2. Konsert dan program hiburan yang melampau secara 'live' dan melalui media massa meningkat lebih 100 peratus sejak Islam Hadhari dilancarkan.

3. Isu murtad. Bilangan orang Islam yang mengisytiharkan keluar daripada Islam (murtad) secara rasmi meningkat dari setahun ke setahun. Setakat ini belum ada sebarang inisiatif daripada pentadbiran Islam Hadhari untuk mengekang masalah dan menjaga kemurnian akidah rakyat secara jelas. Bahkan cadangan PAS di Parlimen ditolak mentah-mentah.

4. Gejala maksiat di kalangan pimpinan. Kebejatan moral yang begitu parah di kalangan pimpinan kerajaan Umno-BN sendiri, khasnya daripada mereka beragama Islam yang diketahui umum tidak menggambarkan kesungguhan di peringkat tertinggi dalam menghayati Islam Hadhari.

Beliau berkata, cara Islam Hadhari diperkenalkan, kandungannya yang kosong, pelaksanaan yang terlalu bercelaru, sokongan kepimpinan sendiri yang tidak lebih daripada menanam tebu di bibir mulut, pertentangan secara jelas dengan syariat dan akidah Islam serta ajaran al-Quran, benar-benar telah mengelirukan rakyat. Bahkan ia juga mudah membawa kepada kegelinciran akidah Islam sebenar, katanya.

"Dengan demikian, saya dan rakyat Islam yang prihatin serta menyintai kemurnian akidah dan syariat Islam dengan tegasnya menggesa kerajaan pimpinan Najib memansuhkan ajaran Islam Hadhari yang membawa kepada kekeliruan dan kerosakan akidah dan kembali kepada Islam yang sebenarnya," katanya.

Pandangan Tuan Guru ini amat jelas dan mampu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Jadi tidak ada sebab untuk kerajaan pimpinan Najib dan rakyat untuk terus menjadikan Islam Hadhari sebagai panduan dan pendekatan mereka dalam meneruskan amalan Islam hakiki di Malaysia ini.

Sumber : http://www.mutaligat.blogspot.com/ (Blog Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka).

Sunday, April 12, 2009

HUSAM DAN NIZAR TETAMU JAMUAN TEH ANAK MELAKA DI PERANTAUAN

Semabok : Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Harun Mohamed menyeru seluruh anak-anak Melaka yang tinggal diluar Melaka untuk menghadiri Program jamuan teh anjuran Persatuan Anak Melaka di Perantauan (PERAWAN) pada 18 April ini.
Program tersebut yang akan bermula pada jam 2.30 petang hingga 6.00 petang bertempat di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa akan memeriahkan lagi program tersebut.

Harun mengalu-alukan kehadiran semua anak-anak Melaka di perantauan ke majlis tersebut bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara mereka dengan pimpinan PAS Negeri Melaka.

"Kita juga bertukar-tukar fikiran tentang apakah bentuk sumbangan yang boleh diberikan oleh anak-anak Melaka bagi memacu kejayaan PAS di Melaka"

"Adalah tidak mustahil untuk kita menguasai Negeri Melaka kerana pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu kita hanya memerlukan 11 peratus sahaja lagi bagi mentadbir negeri Melaka," kata beliau.

Menurut Harun ramai anak-anak Melaka yang terdiri dari golongan intelektual, korporat dan aktivis masyarakat yang menyumbangkan idea, buah fikiran dan sebagainya bagi membantu PAS Melaka.

Selain itu katanya. anak-anak Melaka itu juga mampu mempengaruhi ibu-bapa serta sanak saudara di kampung untuk melakukan perubahan politik dalam pilihan raya."Kalau mereka dapat balik mengundi dan mempengaruhi ibu-bapa maka tidak mustahil kita dapat perintah negeri Melaka," ujarnya.

Segala pertanyaan boleh diajukan kepada Harun Mohamed di talian 019-6675521.

Friday, March 13, 2009

SOKONG PAS DIPERALAT UNTUK KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata beliau menyokong kenyataan AJK PAS Pusat, Dato' Haji Abu Bakar Chik bahawa PAS sedia dimanfaatkan atau 'diperalatkan' oleh Gerakan Memansuhkan (GMP) Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) demi kepentingan bangsa dan Bahasa Melayu.
"Kita sedia untuk berjuang demi Bahasa Melayu yang kian dipinggirkan oleh kerajaan BN sekarang".
"Sebab itu dari awal lagi PAS membantah dasar PPSMI bukan sekarang, kita sentiasa konsisten menentang sistem ini" kata Bakrin.
Bakrin kesal kerana Umno yang mendakwa sebagai parti terbesar orang Melayu seolah-olah membisu dalam soal ini malah menyelar usaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang berjuang untuk menghapuskan PPSMI.
"Sepatutnya Umno lah yang menjuarai isu ini bukannya GMP dan PAS, malah orang Cina dan India pun bersama-sama berjuang untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, Umno diam membisu".
Bakrin berkata bahawa tidak timbul bahawa GMP diperalatkan PAS atau sebaliknya. Apa yang pasti katanya, PAS bersedia untuk diperalatkan GMP demi kepentingan Bahasa Melayu.
Abu Bakar dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan kepimpinan Umno-BN dalam masyarakat hari ini sudah bankrap moral.
Katanya, kerajaan sebenarnya sudah bankrap moralnya dan kepimpinan dalam masyarakat. Menurutnya isu PPSMI yang hangat sekarang ini menunjukkan bukti bagaimana bankrapnya moral kerajaan (BN). Beliau berkata kerajaan menafikan keintelektuan berpuluh-puluh orang profesor yang diketuai oleh Dato' Dr Hassan Ahmad, Prof Abdullah Hassan, Prof Shaharir Md Zain, Prof Dr Nik Safiah Karim Sasterawan Negara, A Samad Said dan ramai lagi.
Namun begitu, katanya para pemimpin BN di Parlimen membuat tuduhan melulu serta melabelkan tokoh-tokoh berkenaan sebagai anasir perosak.
"Tiba-tiba dikatakan mereka (tokoh ilmuan) ini di Parlimen dari Wakil Barisan Nasional (BN) kata anasir-anasir jahat dan anasir-anasir yang merosakkan.
"Mereka (pemimpin BN) tidak ada suatu persepsi menerima teguran dan ini kerajaan yang bodoh-sombong sebenarnya," sindir Dato' Abu Bakar.

Thursday, March 12, 2009

PAS MELAKA BANTU KEMPEN DI BUKIT GANTANG

PAS Melaka sudah berkampung di Bukit Gantang sejak 1 Mac lalu bagi membantu kempen calon PAS di sana.

Setiausaha Jentera Pilihanraya PAS Negeri, Bahiki Ismail memberitahu bahawa PAS Melaka akan berusaha sedaya upaya untuk membantu memberikan kemenangan kepada calon PAS sebagaimana yang dilakukan pada 2 PRK lalu iaitu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Beliau yang kini berada di Bukit Gantang yakin PAS akan menang sekali lagi kerana dari maklum balas yang diterima rata-rata pengundi Melayu di sana mula menunjukkan perubahan setelah meluat dengan tindakan biadap BN merompak kuasa kerajaan negeri dengan cara tidak bertamadun dan tidak bermaruah.

PULAU MELAKA : 10 TAHUN TERBENGKALAI, RAKYAT JADI MANGSA

Kerajaan negeri Melaka ternyata lembap kerana gagal mengatasi masalah projek Pulau Melaka yang terbengkalai sejak sekian lama.

Ramai rakyat negeri ini dan dari luar Melaka menjadi mangsa kegagalan projek ini. Lebih malang lagi setelah lebih 1o tahun projek ini gagal kerajaan negeri seolah-olah berlepas tangan dan membiarkan ianya berlarutan dengan begitu lama.

Projek tersebut yang melibatkan projek perumahan seluas 13.7 hektar melibatkan 3 fasa dengan bilangan unit rumah kedai dan pangsapuri sebanyak 1,534 buah.

Ada di kalangan pembeli rumah projek tersebut terpaksa membayar ansuran bulanan rumah yang dibeli sebanyak RM300 sebulan sejak 1997 namun rumah tersebut masih belum siap.
Sebuah akhbar harian hari ini mendedahkan sikap lepas tangan kerajaan negeri yang memberikan alasan bahawa projek itu dibina oleh syarikat swasta dan kerajaan negeri hanya meluluskan pelan pembangunan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh yang memberikan jawapan tersebut seterusnya menambah bahawa, kerajaan negeri perlu mengikut proses perundangan sebelum kerja-kerja pengambilalihan projek itu dibuat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, jawapan kerajaan negeri tersebut merupakan jawapan yang tidak bertanggungjawab.
"Mengapa baru sekarang mereka sedar sedangkan projek ini sudah terbengkalai sejak sekian lama, kerajaan negeri sebagai pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab sepatutnya telah mengambil langkah lebih awal sebelum ianya menjadi lebih rumit dan berlarutan seperti sekarang".

"Ternyata kerajaan negeri lembap dan lalai sehingga rakyat yang membeli hartanah di sini menjadi mangsa akibat kelemahan kerajaan negeri" tegas Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.

Ustaz Imran juga kesal kerana kerajaan negeri gagal menjalan penilaian dan pengawasan yang sewajarnya kepada syarikat yang mengendalikan projek ini.

Beliau menyarankan SPRM supaya menyiasat projek ini kerana kemungkinan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa sehingga projek ini terbengkalai.

"Siasatan ini mesti dilakukan dengan teliti bermula dari proses penganugerahan projek sehingga ke pelaksanaan projek".

Wednesday, March 11, 2009

PAS MELAKA SOKONG SIAPA SAHAJA CALON BUKIT GANTANG

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata PAS Melaka menyokong sesiapa sahaja yang akan dicalonkan untuk mewakili PAS pada Pilihanraya Kecil Bukit Gantang 7 April ini.
"Bagi kami sesiapa sahaja yang dipilih sudah tentu adalah calon terbaik kerana PAS sudah membuat tapisan dari semua segi"
"Tidak timbul calon tidak disukai dan tidak diterima kerana kita mempunyai sistem pemilihan calon yang terbaik di mana akhir sekali Majlis Syura akan menentukan samada seseorang itu layak atau tidak menjadi calon".
Sofi yakin PAS akan memenangi PRK tersebut berdasarkan situasi dan isu semasa yang jelas memihak kepada PAS.
Beliau berkata demikian di Batu Berendam pagi ini.

ALI DICABAR ISYTIHAR HARTA

Semabok : Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan exco-exconya mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Saya cabar Ali dan semua Exco isytiharkan harta mereka bermula dari hari pertama mereka menjadi wakil rakyat sehingga ke hari ini"

"Ada antara mereka yang sudah menjadi Yang Berhormat lebih dari 3 penggal dan kita mahu mereka isytiharkan harta dari mula-mula mereka menang, jangan berdolak-dalih lagi.

Ini penting untuk membuktikan pemimpin kita di Melaka ini bersih dari sebarang penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa".

Imran berkata Datuk Seri Ali jangan hanya sedap bercakap menghentam kerajaan Negeri Selangor tetapi tidak berani untuk mengisytiharkan harta beliau dan exco-exconya sebagaimana yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid dan barisan Exconya.

"Jika Ali tidak berani untuk mengisytiharkan hartanya bermakna mungkin beliau bermasalah, sebab itu tidak berani untuk berbuat demikian".

Khalid hari ini mengumumkan bahawa beliau bersama barisan Exconya akan mengisytiharkan harta masing di dalam laman web kerajaan negeri http://www.selangor.gov.my/ bermula hari ini.

GMP DIDALANGI PEMBANGKANG : HISHAMUDIN DIBIDAS

Bukit Katil : Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Yassim Musa kesal dengan kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengulangi kenyataan kurang cerdik beliau bahawa himpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang.
"Sudah berapa kali Hishamuddin mengulangi kenyataan ini. Sepatutnya sebagai Menteri beliau perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kerana bimbang rakyat akan memandang rendah kepada beliau kerana kenyataannya yang kurang cerdik dan tidak cermat" Kata Yassim.
"Beliau cuba mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu isu PPSMI yang gagal dan menghancurkan masa depan pelajar-pelajar terutama dalam subjel Sains dan Matematik." kata beliau Menurutnya Hishamuddin sepatutnya bukannya mempertikaikan siapa yang menganjurkan himpunan tersebut.
Beliau sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya mengulas dan memberikan pandangan tentang PPSMI yang diragukan keberkesanannya.

Yassim berkata banyak keraguan dan kelemahan dalam PPSMI. Beliau tidak pernah menjawab bangkitan-bangkitan yang disuarakan oleh GMP antaranya :-

1) Isu skema pemarkahan dan graf kelulusan subjek Sains dan Matematik yang direndahkan sehingga markah yang teruk pun diberikan gred A

2) Isu peratus kelulusan pelajar luar bandar yang jauh ketinggalan berbanding pelajar bandar.

3) Isu kelemahan guru-guru yang mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris.

4) Isu kronisme dan penyelewengan dalam kontrak membekalkan alat bantuan mengajar seperti Laptop, LCD dan lain-lain semasa PPSMI mula diperkenalkan dahulu. "Mengapa Hishamuddin tidak menjawab dan mengulas isu di atas sebaliknya cuba mempertikaikan tindakan GMP mengadakan perhimpunan tersebut yang dikatakan didalangi oleh pembangkang"

"Sememangnya PAS dan PR menyokong hasrat dan pandangan GMP, cuma Umno dan BN sahaja yang menentang PPSMI kerana Umno dan BN tidak nampaknya pentingnya Bahasa Melayu sehingga sanggup menghina dan menguburkan Bahasa kesayangan kita ini" tambah beliau.

Malah beliau juga hairan dengan tuduhan Hishamuddin kerana setahunya pejuang-pejuang bahasa seperti SN Datuk A Samad Said, Datuk Dr Hassan Ahmad, Tan Sri Ismail Hussien, Professor Dr Abdullah Hassan, Professor Datuk Dr Nik Safiah Karim, Professor Dr Shahrir Mohd Zain, Professor Dr Awang Sariyan, Professor Ainuddin Wahid, Professor Zainal Abidin Wahid, Azizi Abdullah, Dinsman, Ainon Mohamad dan lain-lain bukannya manusia bodoh yang boleh diperkudakan seperti pemuda Umno dan pemimpin Umno seperti Hishamuddin.

"Takkanlah para cendikiawan yang bijak pandai ini boleh diperbodohkan oleh Pakatan Rakyat sehingga mengikut telunjuk PR."

"Sudah tentu mereka berfikir panjang dan telah membuat kajian mendalam sebelum menubuhkan GMP yang jelas hala tuju perjuangannya menentang penerusan PPSMI, seperti kata, A Samad Said bahawa beliau juga bersedia untuk naik dan berceramah atas pentas Umno jika parti itu juga menentang PPSMI."
"Untuk Hishamuddin saya ingin tegaskan sekali lagi, para cendikiawan itu bukan bodoh dan mudah dicucuk hidung seperti beliau" tegas Haji Yassim juga aktivis masyarakat.

UMNO DERHAKA KEPADA RAJA BUKAN PR

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata Umno/BN masih terus memainkan isu derhaka bagi meraih sokongan rakyat berketurunan Melayu kerana mereka tahu sokongan kaum Cina dan India kepada Umno/BN semakin hari semakin merosot.

Menurtunya setiap hari isu Pakatan Rakyat (PR) derhaka tak habis-habis dimainkan oleh media massa. Sedangkan Ke bawah DYMM Sultan-Sultan sendiri tidak pernah bertitah bahawa PR derhaka kepada mereka. Umno/BN seolah-olah lebih sudu dari kuah menjadi jurucakap kepada Ke Bawan Duli Tuanku.

"Begitu juga dengan Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam yang terus memainkan isu ini dengan membuat kenyataan akhbar demi untuk menonjolkan dirinya supaya digelar pejuang Melayu sedangkan Raja Melaka sendiri pun beliau tidak daulatkan."
"Kalau betul beliau bersemangat Melayu dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu mengapa beliau tidak mencari susur galur Sultan Melaka dan menabalkan individu tersebut sebagai Raja Melaka selepas disahkan keturunannya sahih lagi benar.
Malang sekali negeri Melaka yang terkenal dengan Zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, kini tidak beraja sedangkan negeri-negeri lain semuanya ada Raja kecuali Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak."

Beliau juga yakin isu penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu yang dimainkan oleh Umno/BN ini akan menikam Umno/BN sendiri. Ini kerana rakyat Malaysia tidak lupa beberapa peristiwa di bawah :-

1) Umno/BN telah meminda perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja pada era 90-an. Peristiwa ini merupakan peristiwa paling malang dalam sejarah Kesultanan Melayu dan Umno lah yang sebenarnya MENDERHAKA kepada Sultan.

2) Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menabalkan seorang kerabat Di Raja Kelantan sebagai Sultan Kelantan, semasa krisis pindaan perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu memuncak. Jelas peristiwa ini benar-benar MENDERHAKA kepada Sultan Kelantan.

3) Pemimpin Umno sanggup membongkar segala keaiban Raja-Raja Melayu di media massa sehingga semua keburukan Raja-Raja Melayu baik yang lama atau baru disiarkan di dada akhbar semasa isu pindaan perlembagaan hangat diperkatakan pada era 90-an dahulu.

4) Seorang pemimpin Umno sanggup mengahwini Puteri Sultan dengan membelakangkan Ayahanda Puteri tersebut. Pemimpin Umno itu sekarang masih menjadi pemimpin kanan Umno dan bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan hujung bulan ini.

5) Umno sanggup membelakangkan calon Menteri Besar pilihan Sultan di 2 buah negeri

sehingga berlaku demonstrasi di kedua-dua negeri tersebut. Ada banner yang dibawa mencaci Sultan dengan perkataan seperti 'Menatang' (Binatang). Walaupun akhirnya Umno akur dengan titah Sultan di kedua-dua negeri tersebut namun peristiwa ini menggambarkan bahawa Umno derhaka kepada Sultan.

Katanya, banyak lagi peristiwa penderhakaan Umno/BN kepada Sultan. Peristiwa di atas katanya sudah cukup untuk membuktikan bahawa bukan PR yang derhaka kepada Sultan tetapi sebenarnya Umno/BN yang lebih kurang ajar dan biadap serta derhaka kepada Sultan.

Zakat Melaka diberi kepada bukan asnaf

Untuk EPISOD 1 - Melaka TanahairKU akan membongkar penyelewengan wang zakat yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Walaupun isu ini telah bertahun-tahun lamanya berlaku tetapi pihak berwajib seperti SPRM dan lain-lain gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Tergamak pihak-pihak berkenaan menyelewengkan wang zakat yang sepatutnya diberikan kepada asnaf. Tetapi mereka menggunakan wang zakat untuk MEMBINA BANGUNAN.

Malangnya bila perkara ini diadukan kepada SPRM, jawapannya yang diterima ialah TIADA sebarang penyelewengan dan rasuah. SPRM memberi jawapan bahawa pihak Mufti menyatakan wang itu adalah wang lebihan zakat. Persoalannya jika benar ia wang lebihan zakat, bolehkah ia digunakan untuk membina bangunan?



Fakta Monorel Melaka



1) Bernilai RM15 juta, bagi laluan sejauh 1.6 kilometer menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya.

2) Rosak lebih 21 kali sejak beroperasi 20 Oktober 2010

3) Pihak pengendali iaitu Melaka Taming Sari Sdn Bhd (MTSB) terpaksa menampung kerugian operasi sebanyak RM74,188.75.

3) Perbelanjaan operasi yang dikenakan sepnjang tempoh itu adalah sebanyak RM205,573.25 berbanding kutipan sebanyak RM131,384.50

4) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah menggantung perkhidmatan monorel selama sebulan di sebabkan masalah keselamatan dan fasiliti.

5) Antara masalah perkhidmatan monorel ini adalah masalah cengkaman pd landasan terutamannya pada waktu hujan, melain pihak pengurusan menggunakan cat thermal pada landasannya.

6) Antara penyelesaian kerajaan adalah dgn menyediakan sebuah kenderaan berkren yang dikenali sebagai "cherry picker" untuk mengangkut penumpang yang terkandas sekiranya monorel itu tidak dapat bergerak selain menyediakan manual fungsi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan memperkuatkan cengkaman tayar pada monorel melalui jajaran laluan pada waktu hujan.


Disusun oleh : Aizat Baharuddin (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka).