Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Sofi Wahab berkata PAS terus mantap dari segi organisasi dan gerakerjanya tidak seperti parti lain dalam Barisan Nasional yang terus dilanda masalah dalaman yang tidak kunjung padam.
Sofi berkata PAS ternyata semakin matang dan professional walaupun terdapat pertandingan di dalam parti itu.
"Tidak seperti MCA, MIC, UMNO, PPP dan lain-lain yang sering mengalami masalah dalaman bila berlakunya pertandingan di dalam parti terutama perebutan jawatan tertinggi parti".
"Lihat sahaja Umno bila ada pemilihan maka rasuah berleluasa, MCA sampai Presiden dan Timbalan Presiden tidak dapat kepercayaan ahli, PPP bergaduh, MIC bergaduh, ini semua melambangkan bahawa pimpinan parti-parti itu mementingkan diri sendiri" kata Sofi.
Menurutnya PAS juga tidak akan hilang punca dan tidak gusar dengan kekalahan di Bagan Pinang kerana banyak faktor luar yang menyebabkan berlakunya perkara tersebut.
"Semua orang tahu di Bagan Pinang terdapat 4,604 undi pos yang sememangnya menjadi punca utama kemenangan BN."
"Namun PAS tetap realistik dan akan mengkaji sebab mengapa undi biasa juga merosot teruk, pada PRU 2008 PAS hanya kalah 400 undi biasa tetapi pada kali ini ianya meningkat kepada 2,000 undi" tambah Sofi
Ditanya apakah kekalahan PAS di Bagan Pinang akan melemahkan semangat ahli dan penyokong PAS, Sofi menjawab, kita biasa dengan kekalahan, dan kita akan terus berjuang untuk membebaskan rakyat Malaysia.
"Kita baru kalah sekali dari lapan pilihanraya kecil di Semenanjung maknanya 7-1 aggregat kita, apa yang kita hendak bimbangkan"katanya.
0 comments:
Post a Comment