Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata beliau menyokong kenyataan AJK PAS Pusat, Dato' Haji Abu Bakar Chik bahawa PAS sedia dimanfaatkan atau 'diperalatkan' oleh Gerakan Memansuhkan (GMP) Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) demi kepentingan bangsa dan Bahasa Melayu.
"Kita sedia untuk berjuang demi Bahasa Melayu yang kian dipinggirkan oleh kerajaan BN sekarang".
"Sebab itu dari awal lagi PAS membantah dasar PPSMI bukan sekarang, kita sentiasa konsisten menentang sistem ini" kata Bakrin.
Bakrin kesal kerana Umno yang mendakwa sebagai parti terbesar orang Melayu seolah-olah membisu dalam soal ini malah menyelar usaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang berjuang untuk menghapuskan PPSMI.
"Sepatutnya Umno lah yang menjuarai isu ini bukannya GMP dan PAS, malah orang Cina dan India pun bersama-sama berjuang untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, Umno diam membisu".
Bakrin berkata bahawa tidak timbul bahawa GMP diperalatkan PAS atau sebaliknya. Apa yang pasti katanya, PAS bersedia untuk diperalatkan GMP demi kepentingan Bahasa Melayu.
Abu Bakar dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan kepimpinan Umno-BN dalam masyarakat hari ini sudah bankrap moral.
Katanya, kerajaan sebenarnya sudah bankrap moralnya dan kepimpinan dalam masyarakat. Menurutnya isu PPSMI yang hangat sekarang ini menunjukkan bukti bagaimana bankrapnya moral kerajaan (BN). Beliau berkata kerajaan menafikan keintelektuan berpuluh-puluh orang profesor yang diketuai oleh Dato' Dr Hassan Ahmad, Prof Abdullah Hassan, Prof Shaharir Md Zain, Prof Dr Nik Safiah Karim Sasterawan Negara, A Samad Said dan ramai lagi.
Namun begitu, katanya para pemimpin BN di Parlimen membuat tuduhan melulu serta melabelkan tokoh-tokoh berkenaan sebagai anasir perosak.
"Tiba-tiba dikatakan mereka (tokoh ilmuan) ini di Parlimen dari Wakil Barisan Nasional (BN) kata anasir-anasir jahat dan anasir-anasir yang merosakkan.
"Mereka (pemimpin BN) tidak ada suatu persepsi menerima teguran dan ini kerajaan yang bodoh-sombong sebenarnya," sindir Dato' Abu Bakar.
0 comments:
Post a Comment