Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Tidak sampai setahun
suaminya pergi mengadap Ilahi beliau pula, Allahyarham Cikgu Habibah
Sidek dijemput Allah jam 2.00 petang semalam.
Malam sebelum itu saya dan isteri serta anak murid kesayangannya Ahmad
Danial sempat menziarahi Allahyarhamah di Wad Paliatif Hospital Melaka.
Menurut isteri saya keadaan beliau pada masa tersebut pun sudah tidak
seperti biasa. Mungkin pengaruh ubat menyebabkan beliau tidak berapa
sedar.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Baru, malam tadi, tidak jauh dari pusara Allahyarham suaminya.
Sungguh berat ujian yang beliau tanggung. Sebelum ini Allahyarham
suaminya mengidap kanser selepas itu beliau pula diuji dengan penyakit
yang sama.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Baru.
Kini anak-anaknya hilang tempat bergantung, ibu tiada, ayah tiada, yatim
piatu. Sungguh berat ujian terhadap mereka. Kita harap sahabat-sahabat
kita dapat menjenguk dan membantu mereka yang kebanyakkan masih
bersekolah.
Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarhamah.
Menghambakan diri menjadi Guru PASTI yang imbuhannya tidak seberapa.
Tidak ramai yang sanggup berkorban masa dan tenaga mendidik anak-anak di
PASTI yang imbuhannya tidak setimpal dengan amanah besar yang dipikul.
Beliau terkenal sebagai seorang yang penyayang dan berdedikasi mengajar
anak-anak PASTI Ar Rahmah, Solok Gaong selama puluhan tahun.
Insya Allah segala pengorbanan Allahyarhamah akan dikira sebagai amal
kebajikan yang menjadi bekalan beliau di sana. Kesemua anak saya menjadi
anak didik beliau kecuali si kecil Ariq Amsyar yang masih setahun
jagung ....
Kita mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan bersama para anbia, solihin dan syuhada. Al Fatihah.
Catatan : Abu Fauzan Amsyar Danial