Kerajaan mesti mengkaji berapakah nilai Paras Garis Kemiskinan (PGK) sebenar selepas kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini. Perkara ini mat penting kepada kerajaan dan rakyat bagi mendapat gambaran sebenar berapa jumlah fakir miskin yang terdapat di dalam negara kita.
Kerajaan diharap tidak menyembunyikan fakta sebenar kerana dikhuatiri nanti rakyat yang hidup di bawah paras garis kemiskinan terus menderita tanpa pembelaan.
Apa yang penting dengan memperolehi jumlah orang miskin yang sebenar ini, kerajaan akan lebih serius melaksanakan dasar-dasar dan program yang dapat membantu mereka.Dalam jawapan semasa sidang parlimen semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham Abdul Aziz menjelaskan bahawa jika PGK adalah RM1,500 maka jumlah orang miskin di setiap negeri secara puratanya mencecah 24.3%.
Ini adalah anggaran sahaja, di mana adalah dijangkakan jumlah yang sebenar adalah melebihi 25 %. Angka ini sangat tinggi dan ia menggambarkan bahawa kerajaan BN gagal mentadbir negara dengan baik sehingga jumlah orang miskin melebihi 25 %.
Kita bimbang jika langkah-langkah drastik dan sistematik tidak ambil negara kita akan berhadapan dengan masalah sosial dan jenayah yang amat teruk kerana masalah kemiskinan ini.Dalam konteks negeri Melaka umpamanya jumlah keluarga yang diumumkan oleh Ketua Menteri sebelum ini adalah 785 keluarga.
Dengan keadaan semasa yang semakin mendesak ini sudah tentu jumlah ini bertambah dengan berlipatkaliganda.Adalah dijangkakan jumlah keluarga miskin di negeri Melaka ini melebihi 25 % jika PGK adalah RM1,500. Angka ini adalah sangat besar jika kita bandingkan dengan jumlah penduduk Melaka yang jumlahnya lebih kurang 1 juta orang.
Kerajaan Negeri Melaka mesti mengeluarkan statistik terbaru tentang jumlah sebenar keluarga miskin dan diharapkan fakta sebenar ini tidak disembunyikan. Program dan rancangan bersepadu dan menyeluruh mesti dijalankan dengan segera bagi memastikan golongan yang miskin tidak terus hidup dalam kedhaifan dan kesengsaraan.
Kita bimbang jika masalah kemiskinan akibat inflasi ini tidak ditangani dengan berkesan, gejala-gejala negatif seperti masalah sosial dan jenayah akan meningkat menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan tidak aman dan celaru.
PAS Melaka mendesak kerajaan negeri Melaka agar berbincang dan mengusulkan kepada kerajaan pusat supaya menurunkan harga minyak dan mengawal harga barangan harian sebagai satu usaha untuk mencegah inflasi. Jika ini dapat dilakukan sudah pasti negara kita akan lebih aman dan sejahtera dengan penduduk miskin akan semakin berkurangan.
Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
0 comments:
Post a Comment